.



Jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Benteng Mukmin atau ingin mendapatkan khidmat berbekam / rawatan resdung / rawatan Islam
boleh menghubungi kami
1. AGP Raja Along 014-2399365
2. KPU Fitri Jebat 0107-781525
3. Kanda Arif 012-676 7485
4. Kanda Iwan 017-359 6377
5. Kanda Hafiz (Alang) 010-427 5606
6. Kanda Syawal 017-3009427
7. Srikandi Baizura 017-337 7438
8. Srikandi Nora 014-2600197
9. Srikandi Ida
10. Srikandi Nesya
11. Hafiz Ijok

Hasad Dengki Musnahkan Jiwa


Hasda dengki merupakan penyakit mazmumah yang ada dalam hati sesetengah manusia. Apabila disebut manusia, bermakna ia bersifat umum. Ia tidak menjadi milik sesebuah kaum, golongan atau peringkat usia sahaja, kerana penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Lebih dahsyat daripada zombi dalam filem Train To Busan.

Penyakit hasad dengki bukan sahaja boleh terkena kepada orang kaya, tetapi juga orang miskin. Bukan sahaja kepada golongan tua, tetapi orang muda juga ada risikonya. Pokoknya, penyakit hasad dengki boleh menimpa sesiapa sahaja. SESIAPA SAHAJA.

Hasad dengki termasuk dalam penyakit-penyakit hati yang keji. ia bukan sahaja boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang yang didengki, bahkan orang yang memiliki penyakit ini juga boleh terkena akibat yang buruk. Ia adalah kesan kepada tindakan hasad dengki yang dibenarkan dengan perbuatan.



Makna Hasad Dengki 

Hasad bermaksud berkehendak supaya orang lain yang memperoleh nikmat, hilang nikmat berkenaan. Hasad juga bermaksud kita suka sekiranya orang lain ditimpa musibah, kecelakaan dan bencana. Semakin bahagia seseorang, semakin kuat kita menaruh harapan agar orang didengki ditimpa musibah.

Jika kita tengok rumah tangga seseorang bahagia, tiba-tiba mereka bercerai. Kita pun kata, "Yes! Padan muka!" Maka, itulah namanya hasad.

Begitu juga jika lihat ada sekumpulan remaja yang naik motosikal dengan bunyi ekzos membingitkan. Lalu kita pun mendoakan agar mereka kemalangan. Itu juga namanya hasad.

Kita tengok orang lain sakit, kemudian kita kata padan muka. Sedarlah, itu adalah perkataan orang hasad. Itu adalah ucapan orang yang dalam hatinya ada perasaan dengki.

Ingatlah, orang yang hasad, kata Nabi Muhammad SAW, akan dibalas balik apa yang dihasadkannya. Hari ini, mungkin dia katakan pada orang lain sebagai padan muka, Esok-esok orang lain pula yang akan kata perkataan seperti itu kepadanya.

Andai hari ini kita melakukan sesuatu tindakan sebagai terjemahan perasaan hasad dengki kepada orang lain, tindakan yang sama juga barangkali akan terkena kepada kita. Jika hari ini kita berasa senang melihat kejatuhan orang, bimbang juga suatu hari nanti kita juga akan ditertawakan orang lain.



Perasaan hasad dengki ini sebenarnya tidak membawa kita ke mana-mana. Bahkan, lebih banyak kemusnahan yang boleh berlaku tanpa kita sedari. Tidak kisah dalam apa jua bentuk nikmat yang dimiliki orang lain, kita tidak boleh menanam rasa hasad dengki. 

Rasakan dalam diri bahawa kita sesekali tidak boleh berhasad dengki. Tidak kira rezeki apa jua yang Allah berikan kepada seseorang, itu adalah yang terbaik buatnya. Apa yang Allah berikan rezeki kepada kita, itulah yang terbaik untuk diri kita. Masing-masing mengikut rezeki masing-masing. Tidak perlulah kita berhasad dengki. 

Hasad dengki terbahagi kepada dua. Ada yang positif, namun ada juga yang negatif. Ayuh, kita kenali jenis hasad dengki yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan berkenaan. 

Hasad Dengki Jenis Ghibtah



Ghibtah bermaksud, kita berhasad dengki dengan seseorang dan kita ingin jadi seperti orang yang didengki itu. Sebagai contoh, kita dapati perniagaan seseorang maju dan kita pula menanam azam untuk jadi maju seperti mereka. Kita dapati anak-anak orang lain pandai, dan kita pun suruh anak-anak kita jadi pandai seperti anak orang lain. 

Begitu juga apabila kita dapati rumah tangga orang lain aman dan bahagia. Maka kita pun mencari jalan untuk menjadikan rumah tangga kita aman bahagia. Manakala usaha ini dilakukan tanpa langsung menjejaskan orang lain. 

Dalam aspek amalan pula, apabila kita melihat orang lain melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan amalam mereka di sisi Allah, maka kita juga berasa iri dengan mereka. Maka, lahirlah keazaman dalam diri untuk berusaha seperti orang lain. 

Sifat berdengki seperti ini adalah hasad yang positif. Bahkan ia adalah sifat terpuji. Hasad dengki seperti ini mendatangkan semangat kepada kita untuk saling berlumba-lumba melakukan kebaikan. Di samping itu, ia juga memberi galakan kepada kita untuk semakin maju dalam apa jua lapangan tanpa menyakiti orang lain. 

Hakikatnya, inilah yang disuruh dan digalakkan dalam Islam. Kita diminta berjalan atau mengembara untuk melihat kejayaan orang lain. Kita wajar mempelajari daripada mereka yang telah berjaya dan bahagia. Kemudian, kita terjemahkan semua itu ke dalam diri, keluarga dan organisasi kita. 

Ini dikira juga sebagai salah satu usaha untuk kita meningkatkan kemajuan dalam diri. Misalnya, apabila kita melakukan lawatan sambil belajar ke tempat orang lain, kemudian membawa balik semua ilmu serta pengalaman itu untuk dilaksanakan di tempat kita. 

Hasad Dengki Jenis Ghirah



Ghirah adalah perasaan cemburu yang bersarang dalam hati. Orang yang memiliki sifat cemburu ini mungkin tidak mengganggu orang lain dan tidak pula mengusik hak orang lain. Namun, perasaan cemburu tetap bersarang di dalam hatinya. 

Sebagai contoh, seseorang individu melihat kebahagiaan yang dimiliki pasangan suami isteri lain. Lalu, timbul di hatinya perasaan cemburu apabila melihat kebahagiaan berkenaan. Kemudian, dia bertanya sendiri kenapa suami atau isterinya tidak berkelakuan seperti itu. 



Jangan Sesekali Berhasad Dengki 

Maka, jauhilah diri kita daripada sifat hasad dengki ini. Andai terasa seperti ia mahu muncul dalam diri, cepat-cepatlah padamkannya menerusi taubat nasuha dan istighfar. 

Tiada guna berhasad dengki sesama sendiri apatah lagi sekiranya ia melibatkan kepentingan orang lain. Jangan terpedaya dengan tipu dunia, sehingga kita melihat apa yang dimiliki orang lain, wajar juga menjadi hak kita. Lebih malang, kita bertindak untuk memusnahkan nikmat yang ada pada orang lain sedangkan ia tidak ada pada kita. 

Belajarlah untuk redha dan menerima dengan penuh keinsafan apa sahaja nikmat yang Allah berikan kepada kita. Ya, barangkali apa yang dimiliki orang lain itu kelihatannya hebat pada pandangan kita. Namun, realitinya kita tidak tahu. 

Ingatlah, nikmat yang dimiliki orang lain, barangkali sesuai dengan usaha yang dilakukannya dan sememangnya wajar dimilikinya. Sedangkan kita belum tentu layak dan mungkin tidak diperlukan. Maka, janganlah berasa iri hati sehingga kita tergamak melakukan perbuatan-perbuatan tidak baik demi memuaskan hati sendiri. 

Wallahualam.